Bismillahirrahmanirrahim..
Salam 'alayk..
Kumulakan dengan menyebut nama-Mu dan memuji-Mu wahai Tuhan, Pemilik segala-galanya, dan Penguasa atas segala-galanya..
Engkau yang telah menjadikan diriku
Aku hambaMu berada digengamanMu
Ku berlindung dari kejahatan
Yang telah ku lakukan
Hanyamu tuhan pengampun segala dosa
Kau Maha Pengasih...
Ya Allah bagaimana ku ingin ku mengadu padamu, Sedangkan ia tidak pernah tersembunyi dari Mu, Bagaimana ingin jelaskan segala urusanku,Sedangkan segala-galanya dariMu..
Hari berganti hari, masa yang berlalu tetap pergi, dan mengukir segala macam kenangan dalam lukisan hidupku. Kini usiaku mencecah 22 tahun, telah banyak yang Dia telah perlihatkan kepadaku, tentang apa yang ada di hadapan mataku. Nikmat yang Dia kurniakan terlalu banyak, sehingga kadang ku terlepas pandang, lupa untuk melafazkan syukur, memahatkan hamdalah di hati, jua menambah amal ku yang sedikit cuma tanda terima kasih padaNya. Namun , di balik nikmatNya yang tidak terhitung, kadang Dia menguji diri hamba yang amat mudah mengikut arus yang membawa ke lembah kelalaian dan kealpaan. Aku akui, aku insan biasa, yang mustahil terlepas dari sebarang khilaf. Bunyinya agak 'cliche', namun itulah hakikat yang ingin hati ini ungkapkan. Aku mahu ditegur, aku mahu dengar nasihat. Namun aku tidak mengharapkan tohmahan mahupun cacian, kerana aku insan lemah, yang punya hati sebagaimana kamu juga punya hati.
Alangkah baiknya, andai yang berkata-kata juga memandang diri sendiri. Anggaplah kamu berbicara di hadapan sebuah cermin, yang mana setiap bait nasihat mahupun teguran yang keluar dari mulutmu itu juga ditujukan buat pemilik lisan yang sedang menyusun kata. Islah, seiring muhasabah..
Alangkah baiknya jika niat kita menegur itu adalah atas dasar sayangnya kita kepada yang ditegur, bukanlah kerana perasaan mahu menang, mahupun perasaan mahu lihat yang ditegur itu jatuh tersungkur seolah-olah sedang kalah dalam satu perlawanan..
Masuklah ke dalam sepatu yang sedang ku pakai, kau akan rasai betapa selesa mahupun tidak selesa sepatu itu..
Aku manusia. Aku perlukan manusia. Namun yang paling penting, aku perlukan Dia yang Menciptakan aku.
Sahabat yang benar-benar sahabat menghulurkan tangan, membantu aku bangkit semula..
Bagai insan yang sedang menahan dahaga dihulurkan air yang cukup menyejukkan..
Al-Maidah :54 menjadi hadiah yang tidak ternilai harganya..Alhamdulillah..
Apa-apa pun, aku mempercayai bahawa, setiap yang berlaku, sudah pasti ada hikmahnya , pasti.
No comments:
Post a Comment