Thursday, September 2, 2010

Nota Cinta (vii) ~Salju Ketenangan~

*************************

Sufee membaca kembali emel yang dibalasnya kepada paklong.

"Assalamualaikum, paklong. Sungguh, hanya Dia yang tahu perasaan Sufee sekarang. Alhamdulillah atas segalanya. Terima kasih juga paklong bertindak sebagai orang tengah yang berhemah. Em, alhamdulillah, setelah berfikir panjang dan melakukan apa yang patut, Sufee rasa, Sufee dah buat keputusan. Dengan rendah hati, Sufee rasa ada baiknya jika taaruf itu tidak diadakan. Sufee tidak berhajat untuk mengenali dia dengan lebh dekat, kerana Sufee merasakan itu adalah lebih baik untuk kedua-dua pihak. Dan sebetulnya, memang sudah ada yang mendahului dia dalam hal ini. Jadi, Sufee sudah terima si dia dengan ikat janji dalam hati. Cuma sekarang masih dalam perancangan untuk ikatan secara rasmi dan pertemuan dua pihak keluarga. Ibu dan ayah juga sudah maklum tentang hal ini. Mohon doa dari paklong juga. Moga Allah sediakan suri hati yang jauh lebih baik untuk dia. InshaAllah. Salam dari bumi England, Sufee Soleha.."

Dan tiba-tiba pandangannya beralih ke luar tingkap. "Subhanallah!" Dia menjerit, antara percaya dan tidak! Antara syukur dan excited. "Subhanallah..Indahnya...!"

Ya. Salji mulai menampakkan dirinya. Putih. Bersih. Suci. Dan membawa kesejukan yang mencengkam. Sufee tidak pernah berangan untuk melihat salji di depan mata, apatah lagi menyentuh benda yang seakan kapas putih itu. Dan kini, tanpa dia sedar segumpal salji sudah berada dalam genggamannya. Dia sendiri tidak sedar bila tingkap biliknya sedikit dibuka untuk diambil gumpalan salji yang singgah di situ.


Jam menunjukkan jam 8.15 pagi. Kelam dinihari melabuhkan tirai, dan syuruk mula menyapa. Keadaan di luar sangat putih, dilitupi salji nipis, namun cukup menerbitkan rasa girang di hati Sufee. Girang kerana baginya ibarat mimpi yang menjadi nyata, melihat salji di depan mata. Sungguh ianya suatu paradoks; hatinya berbunga riang disaat hari tampak suram tanpa cahaya matahari yang terik seperti yang biasa dialami di tanah air.

Sekali lagi, salji turun, bagaikan air hujan lebat jatuh menyembah bumi. Tiada lagi warna tanah, digantikan dengan karpet putih dan bersih. Sungguh tenang dan damai. Ingin saja dia keluar dan bermain seakan kanak-kanak riang. Dalam hatinya, dia memuja-muji Yang Maha Menjadikan segala sesuatu, dengan hanya menyebut 'Kun!'. Dan inilah antara bukti keagungan-Nya.

Salji. Salju. "Ah, novel itu!" Gumam Sufee sendirian. Dan ingatannya berpusat sekitar beberapa minggu sebelum dia terbang meninggalkan bumi Malaysia. Diterimanya hadiah dari seseorang, sebuah novel yang berjaya memikat hatinya. Penuh dengan nilai-nilai islami yang indah, menyemai semangat juang serta mengajar erti kasih sayang yang tulus.Salju Sakinah. Salju Ketenangan.

***********************


Cinta itu lumrah. Dan cinta itu fitrah. Dan fitrah adalah sesuatu yang suci. Namun, kekesalan ke atas diri yang menodai kesuciannya.

Tipulah jika Sufee tiada perasaan cinta, ingin disayangi dan memiliki insan istimewa, kerana dia juga insan biasa. Tidak mampu menolak perasaan yang dialami. Namun terkadang jiwanya resah mengenang kisah silam yang tidak mahu diulanginya. Dia akui bahawa dia pernah menyayangi seseorang, menyandarkan kesetiaan pada hati seseorang. Namun, segalanya bukan seperti yang dirancang. Kematangan semakin mengajar dia semuanya. Dan sejak itu dia menilai 'cinta' dari sudut yang sedikit berlainan.

"Assalamualaikum. Maaf. Sekadar mahu bertanya, masih adakah ruang untuk saya menjadikan saudari suri hati saya? Tapi, saya hanya akan sambung niat ini selepas kedua-duanya tamat pengajian. Mohon maaf jika ini mengganggu saudari."

Masih terbayang keresahannya pada waktu itu. Di saat genting dirinya mempersiapkan 'kelengkapan' untuk menempuh peperiksaan akhir, di saat itulah juga datang seseorang merisiknya.

Berhari-hari dia tidak keruan. Mencari jawapan yang terbaik. Mencari tindakan yang tidak akan dikesalinya lagi. Akhirnya, dia hanya berserah. Berserah pada waktu dan masa, agar ia dan Dia yang menentukan segalanya.

*************************

Lama Sufee melayan perasaannya, sehinggakan tidak disedarinya bila salji mulai berhenti turun menyembah tanah. "Ah, aku terlalu banyak termenung dan mengenang kisah lama.." Ya, dari salji, Salju Sakinah, dan kisah risikan pertama si pemberi novel itu.

"Apa khabar agaknya dia di sana?" Hati kecilnya berbisik runsing. "Astaghfirullah. Kenapa perlu aku runsing, sedang Dia sentiasa bersama hamba-hamba yang mengingati-Nya?"

Sufee mendapat tahu serba sedikit tentang bumi Moscow, Russia dari pembacaan sebuah novel pembangun jiwa karya Habiburrahman el-Shirazy. Sungguh berbakat si penulis, sehinggakan berjaya menerbitkan rasa takut dan bimbang di hati Sufee apabila membayangkan kehidupan di sana. Bumi Moscow yang pernah diisytiharkan sebagai Kota Atheist , kota yang menolak adanya Tuhan. Astaghfirullah. Juga Kota Pelacuran. Nauzubillah! "Kuserahkan dia dalam jagaanmu Ya Tuhan.."

**********************

No comments: