Friday, September 3, 2010

Nota Cinta (x) ~Tarbiyyah dariNya~

********************

Peperiksaan tahun pertama sudah ditempuhnya. Berbekal tawakkal, dia meninggalkan bumi England. Dan akhirnya, seiring doa sahabat-sahabat dan keluarga, Sufee Soleha kini selamat berada di tanah air. Dua hari pertama dihabiskan di rumahnya sahaja, merehatkan badan setelah hampir dua hari berada dalam perjalanan. England-Cairo-Malaysia. Sungguh penat. Sebermulanya hari ketiga, Sufee mulai sibuk dengan urusan pertunangan dan perkahwinannya. Dari hal kursus kahwinnya, bajet untuk kenduri dan barang-barang hantarannya, sehinggalah perancangan jadual hariannya sebelum dia kembali meninggalkan bumi Malaysia, buat ke sekian kalinya. Namun, dia sendiri masih tidak dapat membayangkan kehidupannya selepas ini. Mungkin jadualnya akan berubah. Ya, mungkin.

Hari-hari berlalu begitu cepat , sehingga tidak terasa. Mungkin kerana kesibukannya mempersiapkan segalanya, dengan bantuan keluarga, sahabat-sahabat dan juga bakal suaminya sendiri. Sehinggalah tiba hari itu..

"Tahniah, Puan Sufee Soleha."

"Tahniah juga, Encik Naufal."

Dua mempelai saling mengucapkan tahniah, yang disemai dengan kalimah hamdalah yang tidak putus. Selesai sahaja majlis menyarungkan cincin pertunangan, kedua-duanya kemudiannya diijabqabulkan. Majlis yang cukup sederhana, namun diharapkan penuh keberkatan dan redha-Nya. Disaat gugurnya air mata kesyukuran Sufee sejurus selesainya ijab dan qabul, di saat itu jugalah terasa suatu amanah yang tergalas dibahunya. Amanah dalam menumpahkan segala kasih, mengikat segala janji setia, mentaati speenuh rela. Ya, dia kini berperanan sebagai sayap kiri perjuangan seorang insan yang bergelar SUAMI.

Tersentuh hati wanitanya apabila pertama kali dikucup di dahi, sejurus selesai solat sunat nikah sebentar tadi. Debar yang dirasakan kini, bukan debaran penuh resah, namun debaran penuh kebahagiaan. Sufee tersenyum, dirasakan mahu sujud syukur selamanya..

***************

Majlis di kedua-dua belah pihak berlangsung seperti yang dirancang. Dan kini Sufee Soleh meneruskan hidup barunya dengan semangat yang baru.

"Abang, Sufee pinjam laptop, boleh?"

"Kalau Abang cakap, TAK BOLEH?"

"Ok.."

"Bagusnya..solehah..macam namanya.." Naufal tersenyum nakal, dan Sufee hanya tunduk.

"Aduh. Aku salah cakapkah?" Tekanya di dalam hati. Naufal sedikit kebingungan. Dia sendiri masih belum mengenali isterinya. Sekarang dia hilang tingkah, memikirkan apa yang patut dilakukan.

Diambilnya komputer ribanya, dan ditekankan butang ON. Internet disambungkan, kerana dia tahu itu yang diinginkan isterinya pada awalnya tadi.

"Wahai tuan puteri, sudikah dikau mengahwiniku?" Dia berlagak seperti seseorang yang sedang melamar suri hati, dengan sebentuk cincin. Namun kali ini bukan cincin yang dihulurkan, namun sebuah komputer riba!

"Kalau saya cakap TAK SUDI?"

Hah! Kali ini dia yang terkena!

"Sufeeeeeeeeeeeeeeeeee! Abang tak sangka Sufee macam ni ya...hehe."
Kali ini Sufee tidak dapa menahan tawanya. Naufal juga.

**********************
~Tarbiyyah dariNya II~
**********************

Naufal kini terlelap, keletihan seharian berjalan, bertandang ke rumah saudara-maranya untuk memperkenalkan isteri tersayang. Namun Sufee masih sibuk di hadapan komputer riba suaminya, ralit membaca emel-emel dari pihak university. Bertimbun. Summer Break Reading List, New Semester Academic Schedule, New Accommodation, Freshers' Week, dan..matanya tertumpu kepada subject yang berbunyi: EXAM:Referral Paper.

Ya Allah!!!

*********************


No comments: