Thursday, September 2, 2010

Nota Cinta (viii) ~Musim yang Berlalu~

*****************
Musim luruh sudah lama pergi, meninggalkan sececbis memori yang membuang segala kepahitan bersama daun-daun yang gugur lemah, patuh dengan kehendak alam. Begitu juga dengan kedinginan yang mencengkam, sudah berlalu membawa angin segar musim bunga, bersama kicauan beburung menyambut kehadiran sang mentari pagi. Tinggal hanya musim panas yang belum dirasai oleh Sufee sejak tinggal di bumi Inggeris itu. Baginya, setiap musim itu ada keistimewaannya tersendiri.

Musim luruh dengan daun-daun yang gugur, menjadi hamparan buat laluan manusia. Musim sejuk dengan kesucian saljunya, membawa seribu erti, mengingatkan sucinya fitrah kejadian seluruh makhluk dengan fitrah kebertuhanannya. Musim bunga membawa keriangan dan senyuman, dengan mentari yang bersinar indah menyuburkan bunga-bunga yang cukup memikat hati. Subhanallah. Walhamdulillah.

Berlalunya musim-musim yang melakar kenangan indah dalam kamus hidupnya, tidak bermakna berlalu semua memori yang lalu. Semuanya masih segar dalam ingatan. Tinggal lagi sebulan untuk Sufee dan teman-temannya pulang bercuti di tanah air, menikmati setiap titis kasih sayang daripada keluarga tercinta, setelah berhempas-pulas bertarung dengan segala macam dugaan di bumi asing.

Malam itu, Sufee meluangkan sedikit masa untuk membaca longgokan emel dalam inbox nya. Dia memilih emel-emel yang mahu di delete, yang kebanyakannya emel berkaitan promosi dari e-bay, facebook notifications dan emel-emel yang kurang penting. Ralit mendelete, tiba-tiba matanya terhenti pada suatu emel, daripada seseorang yang dikenalinya. Tertulis nama AbuAnas sebagai pengirimnya. Perasaan ingin tahunya memaksanya untuk mengalihkan tumpuan kepada emel tersebut. Klik.

"Salam. Saudariku, apa khabar? Moga sentiasa berada dalam lindungan-Nya. Di sini, saya ingin menanyakan beberapa soalan. Harapnya saudari Sufee sedia untuk menjawab..Pertamanya, boleh saya tahu bila Sufee akan balik ke Malaysia untuk cuti? Dan untuk berapa lama Sufee akan berada di sana? Mohon dibalas a.s.a.p. Penting. Salam dari bumi Moscow, Naufal."

Sufee tertarik dengan ayat terakhir dalam warkah yang pendek itu. PENTING. Apakah? Maka, tanpa berlengah lagi, Sufee membuka diarinya, melihat catatan tarikh-tarikh penting. 3 Julai: Pulang ke Malaysia. 23 September: Pulang ke UK. Ya, setelah yakin yang dia tidak tersalah lihat, jarinya pantas menaip emel balasan.

"Waalaikumussalam, saudaraku Naufal. Alhamdulillah saya baik-baik saja di sini. Cuma sedang menghitung hari untuk pulang bercuti. Semoga Naufal juga sejahtera hendak-Nya. Em, berkenaan soalannya itu, inshaAllah dijadualkan, saya akan terbang pulang ke tanah air 3 Julai ini, dan akan berada di Malaysia selama hampir 3 bulan lamanya. Em, maaf, apakah yang dikatakan penting itu?"

Sent.

Tiba-tiba Sufee ditegur di laman chat Skype. Sedikit terkejut.

AbuAnas: Salam. Maaf mengganggu.

SSoleha: Wslm. Tak mengapa.

AbuAnas: Saya ada hantar sesuatu kat inbox Sufee semalam. Sudah baca?

SSoleha: :-) Baru saja dibalas. Sudah di check?

AbuAnas: Sedang baca.

SSoleha: Ok. Jika sudah baca, apa jawapan kepada soalan saya?

AbuAnas: Hmm. Macam ni. Sudah sedia untuk dengar? Sesuatu yang serius.

SSoleha: InshaAllah. Saya sedia dengar.

AbuAnas: Begini..Saya kan mula bercuti pada 30 June dan akan pulang ke Malaysia 20hb. Dijadualkan akan pulang ke Moscow balik pada 25 Sep, InshaAllah. Dan saya bercadang, untuk menghantar rombongan, dalam cuti tersebut..

SSoleha: Erm..rombongan?

AbuAnas: Ya, rombongan meminang, diikuti majlis akad nikahnya.

Allahu akbar! Bagai disentap jantungnya. Mimpi apakah ini? Berkali-kali Sufee membaca mesej terakhir tersebut, bimbang andai dia tersalah. Lama dia terdiam. Naufal menyambung, seolah faham keadaan Sufee yang mungkin masih terkejut.

AbuAnas: Maaf, andai ini suatu yang kurang menyenangkan. Tapi jangan bimbang, saya sudah berbincang dengan ibu ayah saya, dan juga ibu ayah Sufee. Tiada kekangan daripada mereka, alhamdulillah.

Setelah mendapat kekuatan untuk menennagkan dirinya, akhirnya Sufee membalas. Pendek. Tanpa banyak soalnya.

SSoleha: Sungguh, ini suatu kejutan bagi saya. Alhamdulillah atas segalanya. Jika itu lebih baik, saya terima saja. Apa-apa perbincangan lanjut, boleh inform pada saya lagi ya.

AbuAnas: Baguslah kalau begitu. Jika tiada apa-apa lagi, sampai di sini saja buat masa ni..jaga diri ya. Salam..

SSoleha: InshaAllah. Wslmwbt..

Sufee terduduk. Buntu seketika. Matanya yang makin lemah tadi kembali segar. Tanpa berlengah, dia melangkah kakinya menuju ke bilik air, mahu menyucikan diri. Dihidupkan malamnya itu dengan solat-solat nawafil, seperti biasa. Tahajud, taubat, hajat, istikharah, dan disudahi dengan witir. Bezanya malam ini, qiam nya dimulakan dengan solat sunat syukur. Itulah kebiasaan Sufee, seorang gadis biasa yang berjiwa penuh pengharapan kepada Penciptanya.. Jika diyakini dia tidak mampu untuk bangun di akhir malam, dia akan menunaikan hak ruhaninya sebelum melelapkan mata. Hanya redha Allah yang didamba!

****************
Sufee mengumpulkan kekuatan untuk memberitahu tentang berita tersebut kepada teman-teman serumahnya. Aza adalah orang yang paling gembira buat dirinya. Yang lain juga turut sama mendoakan yang terbaik buat Sufee. Indah sungguh ukhuwwah dalam rumah yang harapnya penuh dengan barakah itu.

Dan kini Sufee memiliki suatu tanggungjawab dan misi yang lebih besar untuk diselesaikan....

3 comments:

Silly Milly said...

suka baca..

Nor Amirah binti Adnan said...

salam kak ema..
satu cerpen yang menarik..
mirah follow citer ni...
sambung cepat2 tau..

Kembara Syahadah ~NFES~ said...

Silly Milly: Terima kasih sudi baca :-)

Mira: wslm Mira.. ^^ hehe tme kasih dik, baru belajr ni hehe.. ok2 tggu kesudahnnya ya! :-)